Thursday, July 18, 2013

KEADILAN tubuh pasukan khas siasat isu persempadanan semula

KUALA LUMPUR 17 JULAI: KEADILAN menubuhkan sebuah pasukan khas untuk mengkaji segala maklumat berhubung persempadanan semula kawasan pilihan raya.
Pasukan itu yang diketuai Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen akan menumpukan kepada seluruh sistem serta teori berkaitan persempadanan semula.
persempadan-semula
Rafizi yang juga Pengarah Strategi KEADILAN berkata, kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepatutnya perlu melibatkan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dalam rundingan untuk menambah kerusi sekiranya persempadanan semula dilakukan.

“Keadaan sekarang jauh lebih rumit kerana kerajaan memerlukan undi dua pertiga dari Pakatan sekiranya mahu menambah kerusi. Oleh itu SPR tidak ada pilihan lain selain merundingkan perkara ini dengan Pakatan,” katanya kepadaKeadilan Daily.
“Sebab itu pasukan khas ini menumpukan perhatian segala aspek berkaitan persempadanan semula supaya bila rundingan bermula, kita sudah ada maklumat lengkap berhubung perkara itu,” jelas Rafizi.
SPR sehingga kini dilaporkan belum dapat memastikan bahagian-bahagian pilihan raya yang terlibat dengan pertambahan kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana urusan kajian semula persempadanan masih di peringkat persiapan awal.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim pada 15 Julai lalu berkata, SPR akan menyiarkan syor kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya dalam warta dan juga dalam sekurang-kurangnya satu akhbar yang diedarkan dalam bahagian pilihan raya itu apabila SPR memutuskan untuk memulakan kajian semula persempadanan.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=54394

No comments: