Tuesday, July 16, 2013

Harga ayam melambung: Menteri tak bertanggungjawab

KUALA LUMPUR 16 JULAI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaaan (KPDNKK) sepatutnya membantu rakyat menyelesaikan krisis kenaikan harga ayam bukannya memberi cadangan supaya rakyat bertukar selera kepada sumber protein yang lain seperti disaran Menterinya, Datuk Hasan Malek.
Johari Abdul
Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN, Datuk Johari Abdul berkata, fungsi asas kewujudan KPDNKK itu sendiri adalah untuk memastikan harga-harga barang terkawal mengikut harga yang ditetapkan kerajaan.

“Hasan patut sedar fungsi KPDNKK mengawal harga, sama ada rakyat perlu bertukar selera atau tidak bukan dia yang tentukan.
“Apabila berlaku kenaikan harga, tanggungjawab menteri memantau harga itu dan menghukum peniaga yang menaikkan harga sesuka hati, bukan melepaskan tanggungjawab dengan saranan yang dangkal,” ujar Ahli Parlimen Sungai Petani itu ketika ditemui.
Johari menambah, KPDNKK sewajarnya meningkatkan kepekaan dan tanggungjawab untuk membantu rakyat agar boleh membeli barang keperluan pada harga yang berpatutan.
“Tingkatkan kualiti penyeliaan dan pemantauan. Babitkan lebih banyak lagi pihak di setiap peringkat dari kementerian hinggalah kepada penghulu, ketua kampung dan sebagainya. Para pengguna mesti digesa menjadi mata dan telinga kerajaan agar sebarang kenaikan harga boleh dibanteras segera,” katanya.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=54343

No comments: