Tuesday, September 23, 2014

Azmin mahu perkukuh Selangor sebagai negeri maju, harmoni & bersatu padu

KUALA LUMPUR 23 SEPT: Menteri Besar Selangor yang baharu, Mohamed Azmin Ali berjanji akan menggalas amanah ini dengan penuh tanggungjawab, jujur dan berintegriti untuk memperkukuhkan Selangor sebagai negeri maju, harmoni serta bersatu-padu.
Azmin Ali
“Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor akan melaksanakan konsep Negeri Pembangunan atau developmental state berlandaskan amalan tata kelola yang baik, ketelusan dan kebertanggungjawaban,” kata Azmin dalam kenyataan pertama beliau selepas mengangkat sumpah jawatan itu pagi tadi.

Tambahnya, beliau juga akan mendukung institusi demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan.
“Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT di atas perlantikan ini dan saya menjunjung kasih di atas perkenan Tuanku Sultan melantik saya sebagai Datuk Menteri Besar,” kata Azmin lagi.
Beliau turut menghargai sokongan dan laluan yang diberikan Presiden KEADILAN termasuk dokongan daripada 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP dan Pakatan Rakyat.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan terima kasih kepada Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Presiden KEADILAN dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum KEADILAN serta seluruh Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Adun Selangor atas kepercayaan serta sokongan untuk saya menerajui Selangor,” kata Azmin.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=63076

No comments: