Monday, April 2, 2012

Turki tiada minyak tapi mampu beri pendidikan percuma – Anwar

(Oleh: Masdar Wahid)
KUALA LUMPUR 1 April: Jika Turki yang tiada sesen pun hasil minyak mampu memberi pendidikan percuma kepada rakyatnya, tiada sebab Malaysia yang mencatat untung RM90 bilion setahun dari sumber petroleum tidak berupaya melakukan kebajikan sama.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Recep Tayyib Erdogan memberi pendidikan percuma kepada rakyat dari peringkat rendah hingga universiti walaupun baru tiga tahun memerintah Turki.

“Bila kita sebut mansuh PTPTN, isu utama yang harus difokus ialah pendidikan percuma untuk semua rakyat terutama golongan miskin. Bukan isu nak pindahkan wang Petronas bayar PTPTN.

“Prinsip asasnya ialah pendidikan percuma dari peringkat rendah hingga ke universiti,” katanya  pada dialog bertajuk ‘Pemberdayaan Kebajikan dan Ekonomi Rakyat’ anjuran Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor di Subang Jaya 31 Mac lalu.

Beliau mengakui PTPTN adalah isu paling popular yang diaju kepadanya termasuk di facebook dan twitter.
Walaupun PTPTN dimansuh, Anwar berkata, Pakatan Rakyat memberi jaminan tidak akan membuang kakitangan di perbadanan itu kerana mereka akan diserap ke Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi.

“Walaupun pegawai ramai, kita juga tetap pastikan khidmat atau mutu kerja mereka bertambah baik untuk rakyat,” katanya.

Mengenai pemberian 20 peratus royalti minyak kepada Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan seperti yang termaktub dalam Buku Jingga, Anwar berkata ia tidak akan menjejaskan negeri lain.

Ini kerana, katanya, 80 peratus hasil minyak itu mampu menampung perbelanjaan negara dengan memastikan royalti diurus mengikut pengurusan yang baik.

“Keutamaan royalti 20 peratus difokus kepada golongan miskin. Apabila kita menyebut kemiskinan ia merangkumi sama ada Melayu, Dayak, Iban, Kadazan, Cina dan India.

“Pada masa sama, kita memperketat prosedur kewangan selain pengurusannya dijalankan individu yang bertanggungjawab, amanah dan berintegriti,” katanya.

'Siapa akan cabar Najib? Bukan Muhyiddin'

Bekas timbalan menteri, Tan Sri Abdullah Ahmad berkata kegagalan Datuk Seri Najib Razak meraih keputusan lebih baik berbanding 2008 dalam pada pilihan raya umum akan datang akan menyebabkannya presiden Umno itu dicabar dalam pemilihan parti selepas ini.

Bercakap dalam wawancara dengan Malaysiakini minggu lalu, wartawan veteran itu berkata, Datuk Seri Najib Razak bagaimanapun tidak akan dicabar oleh timbalan presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

NONE"Siapa akan cabar Najib? Bukan Muhyiddin. Pencabarnya akan datang daripada lapisan seperti (Ketua Pemuda Umno) Khairy Jamaluddin dan (MP Jerlun) Datuk Mukhriz Mahathir, tapi tak semestinya mereka," katanya.

Tambahnya, Mukhriz bagaimanapun perlu menjadi menteri penuh terlebih dahulu sebelum memulakan cabaran, manakala Khairy pula kini nampaknya sudah "hilang ghairah."

“Dia bukan lagi seorang yang berpengaruh seperti sebelumnya. Sementara itu, jawatan pengerusi PUNB (Perbadanan Usahawan Nasional Berhad) akan buatkan dia sibuk," katanya.

Abdullah (foto), yang merupakan penasihat kepada bapa Najib, Tun Abdul Razak Hussein berkata, cabaran itu juga tidak mungkin digerakkan oleh pemimpin tertinggi seperti  sepupu Najib sendiri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

“(Hishammuddin) juga perlu disalahkan jika BN menang dengan majoriti kecil. Presiden, timbalan dan naib presiden akan dipertanggungjawabkan.

Bekas anggota majlis tertinggi Umno itu menjangkakan bahawa BN akan menang dengan majoriti antara 20 hingga 40 kerusi parlimen dalam pilihan raya ke-12.

Abdullah, yang juga merupakan bekas pengarang kanan akhbar The New Straits Times, turut memberikan beberapa petua kepada Najib untuk menghadapi pilihan raya itu.

200 peneroka bantah penyenaraian Felda di Putrajaya


PUTRAJAYA 30 Mac: Seramai 200 peneroka menyertai perarakan menyerahkan memorandum bantahan penyenaraian Felda Global Ventures Holding Berhad (FGVHB) di Bursa Malaysia diPutrajaya tengah hari tadi.

Sebaik selesai solat Jumaat, peneroka mula berkumpul di hadapan Masjid Putra, dan berarak menuju Pejabat Perdana Menteri pada pukul 2.55 petang.

Perarakan diketuai antaranya, Pengerusi Biro Felda dan Orang Asal KEADILAN, Suhaimi Said, Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman, Ketua AMK, Shamsul Iskandar, dan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said.

Peserta turut membawa bersama kain rentang sepanjang 100 meter yang dipenuhi tandatangan peneroka seluruh negara yang membantah penyenaraian itu.

Mereka turut membawa kain rentang bertulis “Kami tolak FGHV”, “Selamatkan Felda” dan kain panjang dengan tandatangan orang ramai yang menolak penyenaraian itu.

Laungan “Reformasi” dan slogan anti-Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad berbunyi “Turun Isa Samad” dan “Isa Samad tipu peneroka” turut dilaungkan peserta perarakan.

Sebaik tiba di pintu utama, peserta mendapati pintu pagar utama ditutup dan dikawal beberapa orang polis. Mereka seterusnya bergerak ke pintu pagar berhampiran tempat letak kereta.

Selepas itu, beberapa wakil, termasuk A Samad Said masuk ke dalam bilik pengawal untuk berunding bagi memastikan memorandum sampai ke tangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Kira-kira setengah jam kemudian, memorandum berjaya diserahkan kepada wakil Perdana Menteri kerana Najib menghadiri majlis pemakaman anakanda Sultan Perak, Datuk Seri Raja Ashman Shah ibni Sultan Azlan Shah.

Penyenaraian FGVHB dijangka dilaksanakan April ini mendapat bantahan hebat pelbagai pihak, termasuk peneroka dan Pakatan Rakyat, kerana menghilangkan suara peneroka di bawah Koperasi Permodalan Felda.

Ekoran itu, kerajaan Umno BN melakukan pelbagai cara, termasuk menjanjikan ‘durian runtuh’ kepada peneroka, dengan syarat peneroka menyerahkan salinan kad pengenalan mereka kepada pengurusan Felda.
Felda juga dilaporkan cuba mewujudkan syarikat bertujuan khas (special purpose vehicle) untuk tujuan penyenaraian itu selepas ia mendapat tentangan peneroka.